Friday, December 18, 2015

DIDIK ANAK- perkara kecil yang besar!

DIDIK ANAK- perkara kecil yang besar!
Peranan ibuayah dalam mendidik tidak dapat diambilalih oleh sesiapapun. Hakikatnya didikan adalah tugas harian. Tiap hari didikan berlaku pada anak. Tak kira kita sedar atau tidak.
Dalam banyak keadaan, anak terdidik dari perkara kecil yang kita buat berulang-ulang. Rutin tidur kita adalah didikan buat mereka. Rancangan tv kegemaran kita, menjadi sebahagian hidup mereka. Bahasa yang kita guna menjadi siraman baja atau racun ke dalam jiwa.
Pilihlah untuk beransur-ansur memperbaiki rutin-rutin ini. Mulakan dengan satu. Satu yang istiqamah, yang diulang dan diulang dan diulang. Apabila terlupa, atau tersilap, jangan kecewa. Ulang semula. Tiada masalah untuk tersalah, asal tidak menyerah.
Sebagai contoh, kita boleh mulakan dengan menyebut rasa syukur kita setiap kali hendak makan bersama. "Untung kita dapat makan macam ni kan. Banyak Allah beri rezeki. Nanti dah makan, kita guna tenaga untuk buat baik ya. Tentu Allah suka"
Bunyi macam skema kan? Terus saja, asal Allah suka, lama-lama akan selesa 
Dialog wajar berubah-ubah dengan mesej yang lebih kurang sama. Memang awalnya kita rasa kekok, namun teruskan saja. Selepas beberapa lama, anak kita akan terikut untuk bercakap dengan lenggok bahasa dan mesej yang sama setiap kali berdepan hidangan.
Respon sebegitu mudah diterima jika anak masih di awal usia. Jika anak remaja, mungkin kita tidak akan melihat impak segera. Namun percayalah, jika kita jujur dalam bicara, anak remaja juga mampu menghargainya dan membina pandangan dan pendirian hidupnya dari percakapan harian kita.
Bagaimana jika kita senyum setiap kali anak membuka pintu? Bagaimana jika kita berdoa untuk anak setiap kali dia membantu mengambil barang? Bagaimana jika kita membaca bismillah setiap kali menekan remote tv? Alangkah indah, kerana anak sedang memerhati dan meneladani.
Perkara baik, biarpun kecil, jika diulang-ulang, akan menjadi asas peribadi cemerlang. Fikirkan untuk baiki sesuatu yang kecil. Mulakan sekarang, ulang dan ulang. Buat saya dan ibuayah semua, selamat berjuang!
‪#‎demicintaummi‬

No comments:

Post a Comment